Hidang Lauk Nasi Campur Gerai Makan Di Rumah

Sama ada anda suka makan ayam goreng bersama kuah lemak, atau ikan keli goreng dengan sayur tumis, tiada apa yang lebih mengasyikkan lagi daripada hidangan nasi campur di medan selera.

Nasi campur membawa pelbagai memori makan tengah hari di luar, di kafeteria tempat kerja, atau ketika asyik membeli belah di pusat beli belah di ibu kota. Sejak wabak COVID-19 melanda, apa kata kita bawa keindahan makan nasi campur ini di rumah?

Tak perlu susah-susah, hidang sahaja tiga juadah ini dan anda akan dapat menikmati hidangan nasi campur yang sama syok seperti makan di kedai.

Sayur campur

Sebenarnya apa-apa lauk yang anda mahu sekalipun akan lengkap dengan hidangan sayur campur. Anda boleh pilih daripada campuran kacang panjang, kacang buncis, dan kubis yang ditumis asing, tetapi cara yang lebih mudah adalah dengan mencampurkan kesemuanya sekali.

Sayur campur bukan sahaja enak dimakan kerana teksturnya yang rangup, tetapi pengambilan sayur yang banyak juga amat baik untuk tubuh badan kita. Sayur mempunyai kandungan serat tinggi yang boleh mencegah diabetes dan banyak lagi penyakit lain.

Tumis sahaja sayuran anda dengan bawang merah, bawang putih, sedikit garam dan lada sulah. Nak lagi sedap, tambahkan perencah MAGGI® CukupRasa untuk sayur campur dengan rasa yang sempurna.

Tauhu dan tempe goreng

Juadah goreng-goreng memang enak dimakan dengan nasi. Kalau anda makan juadah nasi Indonesia seperti ayam penyet, sudah tentu tempe dan tauhu goreng tidak dapat dipisahkan. Tauhu dan tempe goreng ini memang sedap lagi-lagi bila dihidang dengan kicap cili. 

Selain daripada rasanya yang sungguh lazat, tauhu dan tempe juga dapat menjadi sumber protein yang baik untuk tubuh badan kita. Ini kerana tauhu dan tempe diperbuat daripada kacang soya yang mempunyai kandungan protein yang mampu membantu membina sel dan otot badan kita. 

Ayam goreng berempah

Selalunya ayam goreng berempah ini dimakan dengan nasi kukus bungkus sahaja. Ayam goreng yang disaluti kerak rangup dan kriuk-kriuk rempah segar memang syok sekali apabila digaul sekali dengan nasi. Untuk hidangan makan tengah hari kali ini, apa kata kita cuba buat ayam goreng berempah ini.

Dalam kebanyakan resipi, ayam goreng berempah ini memang boleh kelihatan rumit sekali untuk disediakan. Tetapi dengan resipi MAGGI®, anda boleh sediakannya dengan mudah dan pantas sekali.

Dapatkan resipinya di https://www.maggi.my/ms/resipi/resipi-ayam-goreng-berempah/ sekarang. Tentukan jumlah hidangan yang anda mahu untuk senarai ramuan yang disesuaikan untuk anda di sana.